Tuesday, April 29, 2008

KUALA LUMPUR LAMBANG PENCAPAIAN !



Bangunan tinggi - itulah lambang kita. Betapa kita telah berjaya mencapai puncak kejayaan. Kita patut rasa bangga kerana dapat membangunkan kotaraya ini dengan titik jerih kita sendiri. Kotaraya ini hak kita semua. Kotaraya ini mercu pencapaian orang Melayu. Orang Melayu sudah berjaya. Kini mampu memiliki bangunan perniagaan yang tinggi-tinggi, yang besar-besar. Megah dipandang orang sehingga mereka jadi takjub bagaimana orang Melayu yang telah begitu lama melalui sejarah penjajahan, sejarah pembelajaran, sarat dengan sejarah perjuangan bangsa selama lebih dari 500 tahun - kini telah mampu memiliki bangunan besar tersergam.

Jalan-jalannya dinamakan sempena nama tokoh Melayu - Jalan Sultan Ismail, Jalan Dato' Onn, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Maharajalela, Jalan P.Ramlee dan Jalan Kucing.

Kita sendiri takjub melihat kejayaan orang Melayu di tanah airnya sendiri.


Nota:
Kurang dari 4% bangunan perniagaan di Manjung, Perak adalah kepunyaan orang Melayu. Berapa peratuskah pula bangunan di kotaraya Kuala Lumpur dimiliki oleh orang Melayu, orang Tionghua,orang India atau orang Singapura dan dari lain-lain negara? Siapa yang menyimpan statistik pemilikan bangunan-bangunan perniagaan di Kuala Lumpur supaya boleh dijadikan kayu pengukur kejayaan dan pencapaian orang Melayu?

Statistiknya pasti ada.

KEMAJUAN


Ada lagikah orang Melayu yang dibantu kerajaan dengan diberikan tapak perniagaan di Chow Kit? Boleh lagikah kita bertemu dengan Kak Esah yang menjual mangga dari Siam atau dapat lagikah kita berbual dengan Pak Mat yang menjual ciku dari kebunnya?

"......mari pak, mari, mari...." usahawan negara jiran memanggil pelanggan-pelanggan membeli buah-buahan dari Siam dan ciku yang dibekalkan dari pasaran tempatan.

____________________
dari CHE MAT Chow Kit

STESYEN BAS


Kita mahu kemana? Hanya apabila disuruh maka kitapun naiklah bas. Bayar tambang tetapi tak tahu kemana hendak kita dibawa. Kita riang gembira di atas bas melambai-lambai pada orang di tepi jalan semasa bas berjalan. "Kita ke hadapan, mereka tertinggal....." bisik hati kita sendiri.

Apabila bas rosak, perjalanan kita yang entah ke mana itu jadi tergendala.
"Turun,turun...." kata pemandu bas. "Inilah destinasi terakhir kita"sambung pemandu itu lagi. Beramai-ramai kita turun tapi mahu pergi ke mana? Maka menunggulah kita di tepi jalan menanti jika ada kenderaan yang mahu membawa kita pulang.

Harapan kita ke tempat baru entah di mana itu lenyap bersama debu dan angin petang.
______________
dari EPILOG BISU

Thursday, April 24, 2008

ADIL DAN SAKSAMA


...sanggupkah kita menabur pasir ke dalam periuk nasi usahawan ini? Jika dia bersalah sekalipun, sanggupkah kita ambil kepalanya hantuk ketiang besar itu? Kemudian sepak perutnya dan terajang tubuhnya yang longlai itu ke dalam longkang. Sanggupkah?

Masih sekuno inikah cara kita berfikir seolah tidak berkembang sedikit pun dari 500 tahun dahulu?

Bukankah ini adalah perkara paling mudah di dalam membuat pilihan.
Kenapa memilih kaedah yang salah, undang-undangkan ada.
Apakah anda ada perjanjian dengan usahawan ini untuk dibuktikan.
Biar kami yang ramai ini menjadi pengadilnya, jika benar sila buktikan.
Ambil peguam anda dan terus saman.
Biar kami semua menjadi saksinya.

Tapi ingat, jangan diadakan saksi yang palsu Itu saksi ke lutut namanya.
Jangan adakan fakta palsu kerana kelak memakan diri sendiri.

atau mahukah kamu mengambil tangan kami sebagai salam persaudaraan?

__________________________
adil dan saksama BALAI RINGIN

Sunday, April 20, 2008

T h e T r u t h = K e b e n a r a n


".....amanah mereka telah kita abaikan untuk menjaga tanah dan air...."


A great deal of intelligence is invested in ignorance and corrupted mind.

Terlalu banyak kepandiran telah dileburkan untuk membangunkan minda yang penuh virus untuk kepentingan diri dan lingkungan sendiri yang melampau.

Tidak tahu berapa lama lagi kita sanggup memenjarakan diri di dalam minda yang rosak, terkongkong di dalam jaring besi ghaib pertubuhan, kedudukan, keturunan, perbezaan warna kulit, status masyarakat, latarbelakang pendidikan, lagak hidup, wang di dalam bank, harta di luar negara, banglo di puncak sayup bukit dan berbagai-bagai jenis penjara yang dibuat oleh tangan sendiri.

Hulurkankanlah tangan pada yang sudah berada di luar supaya dapat di tarik membebaskan diri menuju ke jalan yang benar. Berbekalkan modal insan, kita menyusun barisan yang mantap, penuh keimanan, penuh perjuangan dan ada ketentuanNya.

Bangunlah dan pecahkan penjara diri itu, marilah kita bersama-sama penuh kasih dan sayang, mengutip sisa-sisa hidup menuju ke damai abadi.

Bangunkan barisan, kuatkan angkatan, susun penuh strategi, kukuh disiplin diri yang tiada taranya, hidup akal fikiran, nafas suci menerjah setiap urat saraf - mengembang dan menyegarkannya sekaligus mencampakkan seluruh penyakit yang melekat, membuatkan darah kembali bertenaga apabila diisi dengan INGAT (zikr) kepadaNya.

Syukur akan apa jua pemberian anugerahNya setelah apa yang kita usahakan menemui kebuntuan jalan kegagalan. Bermohonlah, mintalah yang lebih baik sesungguhnya Allah itu Maha Adil, Maha Saksama, Maha Bijaksana dan Maha Memahami keluh resah suka nestapa hambaNya.

Sucikanlah diri itu dengan air pancuran yang mengalir tanpa henti kita memohon supaya segala kekotoran, sekalian penyakit, sekelian dosa, sekalian maksiat, sekalian kelalaian, sekalian kegelapan, , sekalian yang hodoh, sekalian hijab dan dari sekalian yang jahat-jahat dibersihkan dari tubuh kita rohani dan jasmani.

Sucikanlah minda kita dari gelombang dan elektromagnetik yang melekat di kepala kita dengan meletakkan dahi kita ke bumi.

Dan pastikan kalimah yang keluar dari mulut adalah perkataan yang mulia dan penuh hormat melimpah kasih dan sayangNya.

Tanah dan air - tanah tumpah darah - bahasa jiwa bangsa - biar berputih tulang asal jangan berputih mata - tiada hilang kebenaran di dunia - yang baik maka baik jugalah hujungnya SEMUA KATA-KATA INI TELAH TERKUBUR.

________________
dari SUARA RIMBA

Thursday, April 17, 2008

KEBENARAN


Sabarlah dengan qadha dan qadarNya ke atas diri kita. Sentiasalah kita bersyukur semasa nikmatNya melimpah sedangkan kita sangka itulah azabNya dan menyesallah kita apabila azabNya menimpa sedangkan kita sangka itulah nikmatNya.

Jika pandangan kita mampu melepasi hijabNya, sedarlah kita itulah caraNya mendidik. Jangan berhenti mensyukuri nikmatNYa-hanya yang mati melihat kurniaan Allah ini sebagai azab dariNya.

NAFSU


Nafsu adalah kereta pacuan, tetapi ilmu adalah pengendali yang membimbing kuda kencana itu.

WANG

Saya lebih suka hidup seperti orang yang miskin tetapi mempunyai banyak wang - Picasso

Apabila sedang sakit, kita memikirkan jiwa kita tetapi apabila sihat, ramai yang memikirkan wangnya.

Mempunyai wang adalah baik tetapi adalah lebih baik lagi jika mempunyai sesuatu yang tidak dapat diperolehi dengan wang.

Seguni wang lebih kuat dari seguni kebenaran.

Ketika wang berbicara, kebenaran terdiam.

Saturday, April 12, 2008

KEINGINAN



Bermula bekerja di tengah panas terik matahari, mencangkul tanah menyemai benih. Memohon supaya pohon tumbuh subur mengeluarkan hasil yang dapat dinikmati oleh ramai orang. Apabila buah sedang meranum, membuka selera ramai yang melihatnya. Masing-masing mahu memiliki bagi meluaskan empayar yang sedia ada.
Gunakan apa cara - menggunakan siapa sahaja, asalkan hajat di hati tercapai walaupun terpaksa memijak di atas orang lain atau perlu menikam dari belakang. Sejak dahulu hingga sekarang, tiada pernah berubah-ubah. Semasa susah dihina orang, apabila berhasil ramai yang dengki.
_______________
dari SUARA RIMBA