Thursday, June 26, 2008

MEMBONGKAR RAHSIA KEHEBATAN ROH









Islam punya kekuatan luarbiasa yg lebih hebat dan tersendiri. Tetapi bila diketengahkan, masyarakat seolah-olah bersikap double standard dalam menerimanya dan mengatakan ini sihir.


1.Tinggi rendahnya manusia di sisi Tuhan adalah dinilai pada kemuliaan dan kesucian rohnya, bukan pada jasad lahirnya. Manusia atau makhluk yang paling hebat dan paling mulia di sisi Tuhan adalah Rasulullah saw.

Kehebatan Rasulullah SAW terletak pada kehebatan rohnya. Makhluk pertama yang Tuhan ciptakan adalah roh Nabi Muhammad saw yang disebut Nur Muhammad. Kerana kemuliaan Nur Muhammad inilah Tuhan ciptakan manusia, langit, bumi dan lain-lain. Begitulah hebatnya roh Rasulullah SAW.

Nisbah jasad manusia, Tuhan menciptakan Nabi Adam dahulu. Nisbah roh, Rasulullah diciptakan dahulu. Sebab itu ketika Nabi Adam diperkenalkan oleh Tuhan tentang ciptaanNya dan ZatNya melalui 99 nama Allah, pengenalan itu tidak sempurna selagi tidak diperkenalkan kepada Nur Muhammad. Tatkala Nabi Adam melihat kalimat Nur Muhammad, dia bertanya kepada Allah, siapakah Muhammad? Maka Tuhan menjawab, itulah penghulu segala Rasul. Walaupun Nabi Adam diciptakan terlebih dahulu, dia tetap akur dengan kehebatan dan kemuliaan roh Rasulullah, malah berselawat dan bertawassul kepadanya.

2. Mengenai roh, Tuhan berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya roh itu adalah urusanKu”
“Katakanlah, roh itu adalah urusan Tuhanku.”

Mengapa Allah berfirman roh itu urusanNya? Padahal semua makhluk ciptaanNya juga mutlak semua urusanNya, semua berada di dalam pemerintahan dan kekuasaanNya. Kesemua ciptaanNya, Dia yang memelihara dan Dia boleh menghancurkannya tanpa campurtangan dari mana-mana pihak. Tetapi tentang roh, Tuhan kata “Ia urusanKu”. Ini menunjukkn daripada keseluruhan ciptaan Tuhan, roh adalah yang paling penting dan istimewa.

3. Mengapa roh istimewa? Sejarah penciptaan roh diceritakan dalam Al Quran. Sewaktu di alam roh, Tuhan telah mengumpulkan kesemua roh manusia dan bertanya,

“Bukankah aku Tuhan kamu?”

Maka menjawablah kesemua para roh,

“Ya, kami naik saksi bahwa Engkaulah Tuhan kami.”

Itulah kehebatan roh manusia, dia sangat kenal dengan Tuhan.

Asal kejadian roh menerima dan mengakui Allah sebagai Tuhannya. Sebab itulah fitrah semulajadi semua manusia samada Islam atau tidak adalah baik, mahu kepada Tuhan. Tetapi bila fitrah suci asal yang mengenali Tuhan itu tidak disuburkan, lama kelamaan ia akan rosak.

KESAN APABILA ROH TIDAK DISUBURKAN

Bila seorang manusia dilahirkan dan dibesarkan dalam keadaan jauh dari Tuhan, rohnya akan lemah, fitrahnya akan rosak. Akibatnya manusia hanya akan tahu adanya Tuhan melalui akal, tetapi hati atau rohnya tidak ada rasa berTuhan, tiada rasa cinta dan takut pada Tuhan. Ibarat anak angkat, selepas 30 tahun barulah dia tahu, rupa2nya dia ada ibu dan ayah yang lain. Senangkah dia hendak menyayangi ibu dan ayah kandungnya?

Begitulah manusia dengan Tuhan. Rata-rata hari ini, manusia sudah kehilangan Tuhan akibat dari melalaikan penjagaan dan penyuburan rohnya. Bila roh tidak disuburkan, maka lahirlah manusia yang rosak jiwanya. Individu-individu yang rosak jiwanya akan melahirkan masyarakat yang rosak. Pendidikan hari ini pula sasarannya adalah akal, roh tidak. Jadi berlakulah ketidak seimbangan antara akal dan roh. Hingga kita dapat saksikan satu fenomena seperti di dunia hari ini. Dalam kemajuan, penuh dengan ketakutan, tiada keamanan, perpaduan dan kasih sayang. Makin maju, makin bergaduh dan menipu, berperang, berbunuhan. Makin kaya, jiwa makin menderita. Apa ertinya hidup dalam kemajuan bersama ketakutan, lebih baik mundur bersama keamanan. Untuk apa kaya dalam penderitaan, lebih baik miskin bersama kasih sayang. Itulah akibat dari gagal menyuburkan roh insan dalam kehidupan. Roh jadi buta daripada mendapat cahaya iman.

KESAN APABILA ROH DISUBURKAN

Roh yang disuburkan dengan mengenali dan mencintai Tuhan hingga membawa kepada rasa berTuhan yang mendalam, akan menjadi aktif. Roh yang disucikan ( roh muqaddasah) akan aktif berperanan ( mutassariffah). Peranan roh mutassarifah ini tiada batasan geografi dan masa.

SEJARAH YANG MEMAPARKAN KEHEBATAN ROH INI

1. Saiyidina Umar boleh memberi arahan pada Sariyah, ketua tenteranya ke Palestin. Sedangkan
sewaktu itu Saiyidina Umar sedang memberi khutbah di mimbar masjid Madinah. Tiba-tiba dia menjerit..

“Hai Sariyah, ubah kedudukan tentera kamu, musuh ada di belakangmu!!”

Begitulah kehebatan roh muqadasah mutasoriffah mampu mendahului masa dan sempadan geografi. Pada hari ini sehebat mana satelit pun tidak mampu hendak mengatasi kepantasan komunikasi roh.

2. Penaklukan Andalusia oleh Tariq ibn Ziyad. Sejarah memaparkan Tariq membakar semua kapal tenteranya dan berkata,

“Laut di belakang kamu, musuh di hadapan kamu, pilihlah
kematian yang bagaimana yang kamu mahu!!”

Orientalis menyembunyikan cerita Tariq beryaqazah dengan Rasulullah. Beliau melihat Rasulullah dan arahan Rasulullah supaya terus mara. Tariq mendapat suntikan semangat juang yang luar biasa hingga membawa kejayaan kepada tentera Islam menawan Andalusia. Peristiwa bersejarah di Jabal Tariq itu merupakan satu lagi bukti bagaimana peranan roh cukup penting . Di mana di saat logik akal mengatakan sudah tidak ada jalan, tetapi di waktu itu bila bergantung pada kekuatan roh, ia mengatasi logik dan berlaku peristiwa luar biasa yang menyalahi adat, yang diistilahkan sebagai khawariqul adah.

Peristiwa-peristiwa ini merupakan rahsia-rahsia kekuatan umat Islam yg tersembunyi yang tidak dapat dikesan dan dikuasai oleh musuh. Hal-hal seumpama ini sudah jarang dititikberatkan oleh umat Islam hari ini. Umat Islam lebih kagum dengan silap mata Barat, sedangkan Islam punya kekuatan luarbiasa yg lebih hebat dan tersendiri.

Tetapi bila diketengahkan, masyarakat seolah-olah bersikap double standard dalam menerimanya dan mengatakan ini sihir.

Sebenarnya ini merupakan usaha-usaha musuh Islam terutama Yahudi yang memang sudah lebih tahu dan faham akan kekuatan umat Islam ini, tetapi mereka menyembunyikan dan menutupnya rapat-rapat.

Oleh kerana besarnya peranan roh, maka munasabahlah Tuhan berkata “Roh itu urusan Aku”. Ia sebenarnya adalah satu senjata rahsia yang punya kekuatan luarbiasa yang disimpan untuk orang-orang bertaqwa. Seolah-olah Tuhan berkata, jaga ciptaan Aku ini baik-baik kerana ialah yang akan menentukan nasibmu di dunia dan di akhirat.

KENAPA SELAMA INI ROH TIDAK DIBERI PERHATIAN UTAMA BERBANDING DENGAN AKAL ?

Roh tidak diberi perhatian sebab mereka lebih berminat dengan akal sebab akal gerakannya cepat mendapatkan hasil. Di sini yg membuatkan manusia terkelabu dan terkeliru. Akal nampaknya lebih cepat berjaya dan cepat dapat. Manusia lebih tertarik dengan benda yang cepat. Sebab itulah manusia lebih tertarik dengan dunia daripada Akhirat. Dunia adalah sesuatu yang dekat, manakala akhirat pula yang jauh. Yang paling cepat terpengaruh adalah mata lahir.

Oleh sebab itulah setakat untuk mendidik mata, mulut dan akal untuk berperanan, Allah tidak perlu datangkan Rasul. Untuk mendidik akal semata, orang jahat pun boleh mendidik, tetapi untuk mendidik roh, bukan sebarang orang yang mampu. Roh itu istimewa, ahli falsafah tidak mampu mendidik roh. Oleh kerana roh itu urusan Tuhan, maka pemimpin yang mampu untuk mendidik roh pun urusan dan utusan Tuhan juga.

APAKAH FAKTOR YANG MENGHALANG PERANAN ROH?

Di dunia ini, apa sahaja yang kita lakukan samada yang halal, sunat, harus dan lain-lain, jika ianya terputus dengan Tuhan, perkara tersebut akan membinasakan manusia. Apa sahaja yang kita bangunkan, tadbir, jika ia terputus dari Tuhan, iaitu bila ia tidak dihubungkaitkan dengan Tuhan, ia akan merosakkan roh. Manusia hari ini menjadikan akal sebagai tempat rujuk utama. Sebelum bertindak apa-apa, mesti tanya akal dulu, logik atau tidak, tepat atau tidak? Sedangkan peranan akal bukanlah sandaran utama. Kerana keputusan akal tidak semestinya tepat dengan kehendak Tuhan.

Sepatutnya sebelum bertindak dan berbuat sesuatu, terus hubungkan hati dengan Tuhan dahulu. Nanti Allah akan campakkan rasa-rasa di dalam hati sebagai panduan. Gerakan hati inilah satu isyarat keputusan dari Tuhan. Akal hanya mengesahkan sahaja keputusan tersebut. Yang membuat keputusan adalah hati, bukan akal.

APA TANDA ROH ITU HIDUP ?

Roha yang hidup akan berperanan. Untuk menilai samada roh berperanan atau tidak, contohnya apabila seseorang melihat keindahan alam, lautan, bukit bukau dan lain-lain, tetapi hati tiada contact dengan Tuhan, tidak terasa kehebatan dan kebesaran Penciptanya, ini bermakna roh tidak hidup, malah telah rosak. Tetapi kalau melihat benda yang sama, hati merasa kehebatan dan kebesaran Tuhan, itu menunjukkan rohnya hidup, dia mendapat rasa berTuhan, dan mendapat iman.

PENTINGNYA MENJAGA ROH

Penjagaan roh adalah penentu nasib di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Lantaran mengabaikan roh, maka hari ini kita terpaksa akur dengan kelemahan umat Islam dari pelbagai aspek. Belum ada satu bidang yang boleh dibanggakan oleh umat Islam. Mana mungkin kita mengalahkan musuh dengan menggunakan senjata ciptaan musuh. Mengapa kita tidak merujuk kepada ’senjata luar biasa’ yang Allah sediakan khas untuk orang-orang bertaqwa.

Cuba lihat kehebatan Nur Muhammad, roh Rasulullah yang aktif berperanan sekalipun setelah baginda wafat. Kehebatan mukjizat Rasulullah terus berlaku iaitu melalui roh muqaddasah mutasorrifah yang sentiasa aktif berparanan. Kalau kita baca kitab-kitab tasawuf, roh orang-orang yg bersih dan disucikan seperti roh para Rasul, wali-wali samada yang masih hidup atau yang telah meninggal, tetap aktif berperanan. Sebab itulah kita boleh bertawassul dengan roh-roh suci ini.

Kita telah melihat pentingnya peranan roh serta kesan luar biasa hasil dari roh muqadasah mutasorrifah. Inilah sebenarnya rahsia kekuatan umat Islam yang Tuhan simpan untuk hamba-hambaNya yg brtaqwa. Rahsia yang cuba diintai oleh musuh tetapi tidak berjaya. Tuhan hanya perturunkan untuk orang-orangNya atau utusanNya. Sebab itulah Rasulullah digelar sirril asror ~ rahsia bagi segala rahsia. Kerana dia berperanan mendidik dan mengendalikan roh manusia di zamannya hinggalah sekarang.

___________________

Oleh: Azahar Abu Talib

2 comments:

uda said...

kehebatan mu tidak ternilaI.TIADA APE TADINGAN MU .MANUSIA MUDAH LUPA TAPI ALLAH TIDAK PERNAH LUPA PADA MANUSIA.AKAN SENTIASA DI PANGGIL BILA SAMPAI WAKTUNYA

Anonymous said...

syukur Alhamdulillah masih ada yang berminat ingin mendalami kekuatan rahsia yang ada dalam diri manusia yang rata- rata telah dikaburi dengan fitnah iblis dan tenteranya.tentulah mereka yang telah berjaya menguasai ataupun memahami akan rahsia kekuatan dalam diri insan layak digelar khalifah.JAZAKALLAH ,BAROKALLAH.TERUSKAN YA SAHABAT AGAR BANGKIT KEMBALI KEKUATAN ROH PADA SETIAP MUSLIM DAN SAMA2LAH KITA BERDOA AKAN KEBERKATAN dariNYA DI DUNIA DAN AKHIRAT.