Masyarakat Malaysia akan merayakan Hari Kemerdekaan yang ke-51. Usia yang begitu matang bagi sesebuah negara yang merdeka, Malaysia kini telah bersedia untuk melonjak jauh mendepani banyak negara lain apabila pengisian modal insan dapat disematkan ke dalam hati sanubari rakyat-rakyatnya.
Apakah yang akan terjadi kepada negara apabila setiap rakyatnya memiliki modal insan? Masihkah bercakaran sesama sendiri atau saling bekerjasama tanpa batasan agama, warna kulit dan fahaman politik?
Akan bebaskah Malaysia dari cengkaman fahaman ekonomi lama, teori sosial antik dan ideologi politik yang akhirnya membawa kepada berpecah belah? Apakah kita semua akan berubah dan akan jauhkah anjakan minda itu?
Masyarakat Tionghua kini maju di dalam sektor ekonomi manakala masyarakat India telah lama terlibat di dalam bidang infrastruktur. Masyarakat Punjabi menekankan pada pendidikan dan kini terserlah penglibatan mereka di dalam berbagai bidang seperti perubatan, pentadbiran, siasah dan juga sektor perbankan.
Terbelakah nasib masyarakat Kadazan, Iban dan masyarakat-masyarakat etnik di Sabah dan Sarawak? Bagaimana kemajuan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, sudah berubahkah sikap dan pandangan hidup mereka?
Berapakah pemilikan aset Bumiputra dibandingkan dengan bukan Bumiputra? Jumlah simpanan masadepan? Dividen pelaburan kerajaan? Cukai? Tol lebuhraya? Sistem pembahagian tender? Bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri? Sudahkah wang royalti diserahkan kepada rakyat Terengganu?
Bersediakah kerajaan mengambil pemilikan sepenuhnya di dalam Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan lain-lain organisasi lagi supaya kos yang dicaj kepada rakyat akan menjadi kurang dan tidak membebankan. Tidak guna jika telefon di rumah hanya untuk mendapatkan saluran internet sahaja sedangkan menggunakan telefon bimbit lebih murah kosnya.
Bersediakah kakitangan kerajaan memakai pakaian seragam sebagai usaha untuk menjimatkan kos membeli pakaian dan wang lebihan itu boleh menambah jumlah pelaburan sebagai persediaan menghadapi kehidupan setelah bersara?
Apakah sejumlah besar masyarakat Melayu terbukti tidak pandai berniaga tetapi mereka boleh menjadi pelabur yang bijak? Perlukah umat Islam mendapat mesjid tersergam indah dengan kos pembinaan berjuta ringgit sedangkan masyarakat setempatnya tidak mampu menampung anak-anak menyambung pelajaran keperingkat yang tinggi?
Soalan-soalan yang memerlukan jawapan yang tepat tidak berhenti senarainya. Semua ini hanya akan dapat kita langsaikan jika masing-masing telah mendokong modal insan.
Bermulalah dengan BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH dan MULIA MEMULIAKAN ANTARA SATU SAMA LAIN. Jika ini menjadi amalan berterusan, kita semua pasti berjaya dan akan cepat melangsaikan hutang-hutang lapuk kita sebelum diserahkan negara ini kepada generasi akan datang yang telah disediakan minda dan fisikal mereka untuk menghadapi pergolakan dunia yang memerlukan kecekapan, kebijaksanaan, keberanian dan daya juang yang bermatlamatkan kejayaan, adil dan saksama.
<><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><>
____________________________________________tj
31 Ogos 2008. Genap 51 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kini sebagai sebuah negara yang dikenali sebagai Malaysia, kita semua telah merdeka. Kita semua telah lepas dari semua ikatan yang menjerut tengkuk, mengikat kaki. Kita semua telah bebas. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Pejuang-pejuang bangsa, agama dan negara telah lama pulang meninggalkan kita semua. Mereka telah mengorbankan kemewahan hidup, masa depan diri sendiri demi perjuangan negara, bangsa dan agama untuk mencapai kemerdekaan. Nama-nama mereka kini telah ditelan lipatan sejarah.
Merdeka! Merdeka! Merdeka! kanak-kanak riang melaungkan kalimat keramat. Bendera berkibaran megah. Kita bangga, negara kita telah lama merdeka. 51 tahun. Jika pada manusia, usia itu telah begitu matang. Tidak lagi mahu melakukan kesilapan di dalam hidup. Merdeka! Merdeka!Merdeka!
Satu hari di Tugu Negara, anak-anak bertanyakan mengenai senarai nama panjang terpahat penuh ingatan. Soalan yang paling mudah tetapi jawapannya pilu seolah menghiris kebenaran. Hati jadi sayu terkenangkan Mat Kilau, Tok Bahaman, Kiai Salleh, Tokku Paloh, Tok Gajah, Dr. Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad, Abu Bakar al Baqir dan ramai lagi yang kini telah dilupakan.
Bangsa yang maju adalah bangsa yang menjadikan sejarah sebagai panduan, bangsa yang mundur adalah bangsa yang melupakan sejarah. Bangsa yang hina adalah bangsa yang menukarkan sejarah bangsa.
Bangsa yang yang akan menerajui dunia adalah bangsa yang sentiasa mengukir sejarah gemilang.
MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!
<><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><><>
____________________________________________tj
Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!
Laung Abu Bakar Al Baqir,
Parti Islam Hizbul Muslimin,
Dr. Burhanuddin Helmi dan Ishak Haji Muhammad.
Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Satu bangsa; bangsa Melayu,
Satu negara; negara Melayu,
Satu bahasa; bahasa Melayu,
Islam, agama negara Melayu.
Cita dan nekad bangsa kita.
Hidup Melayu!
Laung Dato’ Onn Jaafar,
Dari Kampung Baru ke puncak Titiwangsa,
Menguak ombak Selat Melaka,
Merentang angin di Langkawi.
“Tangkap semua!!!” pekik Dato’ Onn Jaafar,
Polis orang putih bertindak,
Tangkap Abu Bakar al Baqir, Ishak Haji Muhammad,
Semua pejuang tanah air ditahan,
Dalam khemah tahanan di merata-rata.
“Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!
Laung Tunku Abdul Rahman,
Pada bulan, pada bintang di dada langit.
Bisik British,
Bisik syaitan penjajah,
“Malays stop, no power stop,
jv country and jv independence”.
Bangsa Melayu layu,
Jadi kaum dalam dua bangsa baru,
Jiwa Melayu terjajah,
Bercakar sama sendiri,
Melaung sampai ke bulan,
Tahi lekat celah gelegar.
“Penjajah bentuk baru!” pekik Soekarno,
Ombak terhenti di Selat Melaka,
Angin patah di Gunung Jerai,
Semangat Melayu rebah di Kota Melaka.
Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!
Laung guru dan semua murid,
Tanah sekangkang kera entah ke mana,
Bahasa Melayu bak pegaga layu di huma,
Pandai anak Melayu jadi hamba,
Kera di hutan ketawa,
Bayi Melayu dalam buaian, lapar,
Susu ibu dihisap kera,
Puting ibu jadi barah payu dara.
Sayup-sayup suara Pak Pandir,
Megah dek tanjak kampung tergadai,
Badan merempat di bumi sendiri,
Yang berjuang kurang jujurnya,
Suara naga berjalan semut.
Kata ulama,
“Islam agama Allah,
Pegang sungguh-sungguh,
Jihad dan teguh iman,
Bangsa Melayu akan bangun semula,
Satu bangsa direda Allah”
Mokhtar Petah
Pulau Sabang, Aceh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Terima Kasih. Tuan mengingatkan saya.
Tok,
Tahun ini kita menyambut Merdeka kemudian Puasa. Kenapa ya? Ada mesej tertentukah?
za, ppinang
Post a Comment