Sunday, August 03, 2008

PELUANG

1

Sebaik sahaja tamat tingkatan 5, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia melayakkan aku menyambung pelajaran di dalam bidang perakaunan di sebuah institusi pengajian tinggi. Pelajaran aku dilanjutkan apabila terpilih membuat program ijazah di tempat yang sama.

Aku sentiasa berpegang kepada pesanan emak dan ayah supaya menumpukan pelajaran dan mendapat kelulusan yang baik. Kata ayah, “kerajaan akan memilih pelajar yang baik untuk menyambung belajar. Kos di pusat pengajian tinggi swasta terlalu mahal jika dibandingkan dengan pusat pengajian tinggi yang dimiliki oleh kerajaan. Jika kamu tidak mendapat keputusan yang baik, ayah tidak mampu untuk menyara pelajaran kamu lagi. Untuk masuk ke universiti ini, kamu pun tahu yang ayah terpaksa mengadai tanah tapak rumah kita ini. Nilainya tak seberapa tetapi mujurlah ada orang yang kesihan sanggup menerima tapak rumah buruk ini. Siapa nak ambil tanah rezab Melayu? Kamu pun tahu nak berurusan dengan bank bukannya ayah tahu sangat, kena buat penilaian, buat perjanjian lawyer, mana ayah ada duit. Kalau luluspun, kena makan 2 bulan juga. Universiti kamu tu bukannya memikir hal orang kampong. Hantar surat, tup tup kena mendaftar. Mana nak cari duit cepat sangat. Sekurang-kurangnya berilah tempoh yang cukup.

Semasa kamu mula belajar dahulu, adalah duit simpanan ayah. Untuk buat ijazah ini, duit ayah tak cukup. Banyak keluar duit, bulan lepas ganti bot baru. Kayunya sudah habis reput. Enjin lama sudah tak boleh pakai. Dah kong. Semuanya semakin mahal.”

Semasa di mesjid, Pak Imam ada duduk berbual dengan aku dan sempat berpesan, “Kamu tu ingat, ada dua perkara yang kamu patut ingat semasa belajar di universiti itu. Satu, kamu jangan gemuk nanti kuat tidur, bila masa nak belajar. Kamu tengok aku ini, badan aku tak macam imam-imam mesjid yang lain. Semuanya gemuk-gemuk, perut buncit. Manakan tidak, apabila ada kenduri arwah, pak-pak imam yang dapat makanan sedap. Beri makan sedap pada pak imam dapat berkat, kamu tahu tak? Itu yang semua orang ingat.

Ayam panggang, pak imam dulu yang dapat. Kari kambing, pak imam juga yang dapat. Tak perlu jadi pak imam pun, kamu hafal dua tiga jenis doa, mesti kamu disuruh duduk di meja utama bila habis baca doa. Ramai kawan aku tukang baca doa dan pak-pak imam yang dapat sakit lemah jantung. Manakan tidak, duduk meja utama, hidangan utama, mestilah sedap-sedap, orang kita ini jika nak sedap santan kenalah lebih. Bertambahlah lemak dalam salur darah. Lemak dah jadi batu. Mana tak jam. Minyak kereta kalau tersumbat untuk sampai ke enjin, enjin pun berhenti. Makan bila lapar berhenti sebelum kenyang. Semua penyakit bermula diperut. Lautlah katakan, dicampak racun, campak besi buruk, ikan pun mati.

Kedua, kamu jangan bercinta nanti jadi leka. Lupa tanggungjawab. Habis belajar, kamu berkawanlah dulu. Berkenalan dahulu. Kaji latarbelakang dia. Perempuan ini, kadang-kadang bertudung lingkup tetapi hati Tuhan sahaja yang tahu. Kalau dapat yang muncung mulutnya lagi kamu menderita, kamu tahu apa binatang yang muncungnya panjang?... Sudah macam radiogram nak jaga tepi kain orang. Bila kamu sudah bekerja nanti, tak payah cari. Ramai yang datang mencari kamu tu. Cantik macam mana sekalipun, carilah yang boleh dibuat menjadi ibu rumah”.

Pesan aruah Pak Imam aku langgar. Semasa di dalam program ijazah, aku hampir terkandas apabila asyik bercinta dan menderita putus cinta. Apabila kekasih aku dijemput oleh seorang kawan lelakinya dengan kereta membawanya pulang, aku cemburu. Katanya, dia tidak dapat mengelak kerana kawannya itu telah berkali-kali menelefonnya. Emaknya ada menelefon menyuruhnya bersetuju.

Sepanjang cuti empat minggu aku termenung di kampong. Aku tidak faham kenapa dia sanggup melukakan hati aku, sanggup bersetuju kawan lelaki mengambilnya dari universiti. Balik naik bas lagi baik, biarlah bersusah asal dapat membuktikan cintanya pada aku.

Sungguhpun aku hanya memendamkan rasa, aku seperti biasa, bertemu dengan kekasihku di cafetaria. Aku mahu memikirkan yang baik dan amat mengharapkan dia berterus terang dengan aku. Dunia ini kejam rupanya. Kekasihku berubah, setiap kali telefon bimbitnya berdering semasa dia bersama aku, wajahnya berubah dan cepat-cepat bangun meninggalkan aku untuk bercakap. Aku menangis di dalam hati.

Akhirnya, dia mengaku tidak mencintai aku lagi. Begitulah nilai cinta. Aku sengsara dan menderita makan hati. Pelajaran aku abaikan dengan memberi alasan pada diri bahawa sumber inspirasi aku tiada lagi.

Apabila pulang ke kampong untuk cuti pendek setelah rasa amat sunyi berada di kampus sewaktu cuti, aku mengambil peluang untuk membantu ayah ke laut. Tak sanggup duduk di rumah mentelaah buku, asyik terbayang wajah bekas kekasihku sahaja.

Semasa ayah sedang menarik tali tangsi yang dimakan tenggiri, aku tatap wajahya yang telah dimakan matahari, berhempas pulas mencari rezeki dan berusaha menebus tapak rumah. Semasa di laut, sambil mencincang ikan umpan untuk dibuang ke laut memanggil tenggiri, ayah ada berkata, “Bila kita susah orang benci, bila kita senang orang dengki. Ingat kata-kata ini di dalam hidup itu”.

Semasa cuti itu, emak yang memberi tahu bahawa ayah turun laut dua kali sehari sewaktu laut elok. Tinggal 3 bulan lagi baki menebus tapak rumah. Disiplin ayah memang kuat, apa yang dikata itu juga yang dikotakannya.

Kata-kata emak itu seolah-olah menampar muka aku, memberi kesedaran yang mendalam terhadap kenyataan hidup.

Berkat doa ayah dan emak, aku kemudiannya di pilih untuk membuat program master. Mungkin kerana telah gagal bercinta, aku tidak mahu pisang berbuah dua kali. Aku pegang pesan Pak Imam. Setiap kali balik kekampong, aku kerap berbual dengan Pak Imam. Aku sedar-sedar sudah menjadi orang mesjid. Aku ke mesjid pada waktu subuh dan maghrib sahaja. Bila menanti waktu Isyak, masa itu aku mengambil peluang berbual dan belajar dengan Pak Imam.

"Ibu bapa hari ini kesuntukan masa untuk mengajar anak-anak, ramai pula yang langsung tak tahu apa yang hendak diajar. Empat perkara wajib bagi ibu bapa. Salah satunya mengajar ilmu dunia akhirat kepada anak-anak. Kemudian barulah nikah kahwin. Selesai empat perkara ini, maka selesailah tanggungjawab ibu bapa pada anak-anaknya. Baik anak lelaki mahupun anak perempuan. Belajarlah ya." kata Pak Imam kepada aku, masa itu aku lihat bercahaya putih bersih pada kedua belah kening matanya.

Sembahyang itu ramai yang buat tetapi berapa orang yang faham apa yang dikatakan sembahyang...kata-kata ini terngiang-ngiang di telinga aku. Aku kadangkala duduk di rumah Pak Imam hingga pukul 3 pagi sebelum disuruhnya aku balik. "Baliklah berehat. Esok engkau nak ke laut" katanya.

Semasa aku sibuk menghadapi ujian akhir dan banyak kertas kerja yang perlu diselesaikan, emak menelefon aku mengatakan Pak Imam demam dan ada meninggalkan pesan untuk aku pada ayah sebelum dia pulang ke rahmat Allah.

Aku menitiskan airmata tetapi apakan daya, aku tidak berpeluang untuk pulang kekampong mengkebumikan jenazah Pak Imam. Seluruh kampong bertuah kerana mempunyai seorang tua yang dituakan seperti arwah Pak Imam. Pak Imam menjadi pemutus kata di dalam perkara-perkara penting di kampong. Setiap kali selepas mesyuarat jawatankuasa kampong, Tok Ketua bersama dengan beberapa orang jawatankuasa akan ke rumah Pak Imam memberitahu keputusan perbincangan.

Keputusan muktamad di mulut Pak Imam. Itu kata Tok Ketua pada orang kampong. Semua penduduk kampong bersetuju dan amat menghormati Pak Imam.

Kata emak, semasa jenazah Pak Imam dikebumikan, ramai orang yang datang. Wajah-wajah yang datang tidak dikenali oleh orang kampong mahupun keluarga Pak Imam sendiri. Sebaik sahaja jenazah Pak Imam dikebumikan, dua jam selepas itu hujan renyai-renyai seolah-olah menangisi pemergian Pak Imam.

Senja itu, alam seolah-olah berkabung bersama penduduk kampung yang terasa kehilangan Pak Imam. Apabila Pak Imam membaca ayat-ayat suci Al Quraan, ilmu taranumnya yang mantap serta suaranya yang lunak dapat menggetar dan mencarik hati orang yang mendengar.

Aku pernah mengalirkan airmata dan menangis teresak-esak mendengar Pak Iman membaca surah Al Rahman, YANG MANAKAH DARI KURNIA TUHAN YANG HENDAK KAMU DUSTAKAN?. 31 kali ayat ini diulang-ulang di dalam surah Al Rahman. Aku sendiri tidak tahu kenapa aku menangis begitu. Ayat itu seperti menghiris hati ku, membuatkan aku sedar bahawa kurnia Allah pada diri aku ini amat banyak sebenarnya. Kefahaman ayat ini telah menjadi ubat dan penawar aku putus cinta. Banyak lagi kurniaan Allah yang selama ini telah aku abaikan.

Pada aku, kekasih aku adalah segala-galanya. Dia adalah hidup matiku. Pengarang jantung ku. Rupa-rupanya jangkaan aku meleset. Cepat-cepat aku pegang lengan ku. Aku cubit lembut dan terasa sakit. Rasa adalah kurniaNya, sebesar-besar kurniaan pada manusia tetapi siapa yang pernah menghargainya. Rasa pula ada berjenis-jenis nikmatnya. Rasa seronok, rasa gembira, rasa teruja, rasa sedih, rasa sakit dan berjenis-jenis rasa yang lain lagi.

Rasa sakit menambahkan kesyukuran aku kepadaNya. Apabila aku ditimpa sakit seperti demam, aku telah tidak beristighfar seperti orang bersalah tetapi diri aku sentiasa mensyukuri akan nikmat yang dilimpahkanNya kepada diri aku. Aku banyak menerima kesedaran sewaktu aku sakit. Tambahan pula terlantar sendiri di bilek di kampus. Apabila aku mendapat khabar atau berita gembira, aku beristighfar kepadaNya kerana takutkan kegembiraan dan perkhabaran itu akan melalaikan aku dari mengingatiNya.

Sejak banyak menghabiskan waktu dengan Pak Imam, aku dapati diri aku telah banyak berubah. Aku lebih menyayangi kedua ibubapa aku. Pernah aku peluk tubuh ayah aku erat-erat lalu aku kucup dahinya. Ayah aku terkejut dan hampir melompat kerana diperlakukan begitu secara tiba-tiba. Seumur hidup, aku tidak pernah memeluk ayah aku apalagi mencium dahinya.

Aku hanya mengucup tangannya dua kali setahun iaitu pada pagi Aidil Fitri dan pagi Aidil Adha. Itupun aku lakukan apabila tiada orang yang melihat, aku segan. Perkataan yang keluar dari mulut aku," Selamat Hari Raya ayah. Ayah saya mohon ampun maaf". Aku kucup tangan ayah kemudian terus bangun. Sejak belajar dengan Pak Imam, akulah yang tak akan melepaskan peluang untuk mengucup dan memeluk ke dua ibubapa ku. Sudah beberapa hari raya, airmata aku mengalir sewaktu melutut dihadapan kedua ibubapa ku.

Takbir raya aku dengar amat menyayatkan hati.

Aku kini telah banyak menilik dan meneliti diri aku sendiri. Aku akan pegang telinga dan aku masukkan jari telunjuk menutup lubang telinga.

Terputus bunyi luar tetapi ada bunyi dari dalam. Aku pejamkan mata, terputus pandangan luar tetapi apabila aku tumpukan memandang semasa tutup mata aku, aku dapat melihat ada gerakan tetapi bukan mata aku yang melihat kerana mata aku telah aku tutup rapat. Telinga, pendengaran. Mata, penglihatan. Hati, perhatian? Banyak soalan-soalan diri aku yang masih tidak terjawab.

Sebaik sahaja habis membaca surah itu, Pak Imam bangun berjalan ke arah aku yang telah berdiri bersedia untuk keluar dari mesjid. Dia melihat wajah aku. Aku jadi malu sambil mengesat airmata yang masih mengalir di atas pipi. Dia hanya tersenyum dan menepuk-nepuk bahuku.

Menurut emak lagi, kedai-kedai dipekan tutup cepat hari itu. Semua tuanpunya Tionghua kedai-kedai di pekan menghormati Pak Imam. Pak Imam tidak tahu berbahasa Cina tetapi seperti memahami isi hati pekedai-pekedai itu. Pak Imam pernah dipanggil untuk menyelesaikan persengkataan di antara dua keluarga Cina yang berpengaruh di pekan. Peristiwa yang hampir berbunuhan itu diakhiri dengan kedua-dua keluarga berpelukan dan bermaaf-maafan.

Sejak peristiwa, setiap tahun, Pak Imam dijemput untuk merasmikan mesyuarat agong pekedai-pekedai di pekan. Arwah juga diminta untuk membaca doa. Peristiwa ini menjadi gempar juga apabila ada ustaz dari kampong lain mempertikaikan perbuatan Pak Imam kerana menurut ustaz itu, haram bagi orang Islam mendoakan orang kafir.

Pak Imam senyum sahaja sambil menjawab bahawa yang didoakannya adalah makhluk Allah jua. Dia mendoakan semoga terbuka hati pekedai-pekedai itu supaya menjadi lebih baik dan bertimbang rasa terhadap pelanggan-pelanggan mereka yang sebahagian besarnya adalah orang Melayu. Menurut Pak Imam, Islam lebih dahulu sampai ke negara China sewaktu zaman Saad Ibn Waqaf. Inilah resepi mereka. Mereka memuliakan orang lain tanpa batasan bangsa atau agama.

Setiap bulan Ramadhan, persatuan pekedai-pekedai Tionghua di pekan menyumbangkan jamuan untuk berbuka puasa. Mereka pernah menghantar wakil ke mesjid semasa mesyuarat menentukan undi hari moreh. Mereka mahu turut serta. Penduduk kampong sentiasa menanti hari giliran moreh sumbangan pekedai-pekedai Tionghua, makanannya mewah. Hari raya dikampong aku meriah, begitu juga semasa Tahun Baru Cina.

Setahu aku, sudah enam orang Tionghua memeluk Islam ditangan Pak Imam. Dua orang kerana bercinta dan hendak kahwin dengan anak penduduk kampong sebelah manakala empat orang lagi tertarik dengan Islam.

Aku juga tertarik dengan cara Pak Imam semasa mengislamkan mereka. Pak Imam berpesan supaya setelah menjadi umat Islam, kewajipan mereka yang utama ialah untuk lebih menghormati kedua ibubapa mereka. Walaupun kedua ibubapa dan keluarga masih belum Islam, tanggungjawab sebagai anak dan saudara kepada anggota keluarga hendaklah dijalankan dengan lebih bertanggungjawab lagi. Utamakan kasih dan sayang kerana Islam itu adalah kasih sayang.

Sungguhpun setiap kali Pak Imam membeli belah barang keperluan di pekan, pekedai-pekedai itu tidak mahu mengambil wang dari Pak Imam. Pak Imam tidak mengambil kesempatan dari kedudukan dan pandangan pekedai-pekedai Tionghua terhadap dirinya. Pak Imam bertegas untuk membayar. Sikap Pak Imam itu menjadikan arwah semakin dihormati dan disegani oleh pekedai-pekedai dan penduduk Tionghua di pekan.

Kini Pak Imam tiada lagi pada zahirnya, tetapi dirinya sentiasa di dalam ingatan penduduk di kampong dan kaum Tionghua di pekan. Al Fatihah.

No comments: