Monday, May 12, 2008
ALLAH MAHA ADIL, MAHA MENGETAHUI
Nasihat orang tua-tua:
"....kami pelik dengan sikap masyarakat apabila terjadi sesuatu musibah, mereka mengatakan bahawa itu adalah ujian Allah. Allah tidak menguji hambaNya. Hamba yang menguji diri sendiri.
Ada dua orang lelaki. Seorang bernama Razali dan seorang lagi bernama Munir. Mereka sedang membuat pilihan hidup. Razali memilih untuk menjadi nelayan dan Munir pula mahu mengikuti jejak bapanya menjadi penoreh getah.
Pastinya ujian atau dugaan yang akan dihadapi oleh Razali ialah pukatnya pecah, botnya karam atau ribut gelora di tengah lautan. Susu getah dicuri orang, pacat, harimau adalah ujian yang bakal dihadapi oleh Munir. Ujian-ujian itu adalah pilihan diri mereka sendiri. Jika mereka memilih kerjaya sebagai guru atau akauntan, lain pula ujian yang akan mereka hadapi.
Allahyarham Mat Kilau memilih untuk menjadi pejuang, maka terpaksalah beliau menghilangkan dirinya untuk tempoh waktu yang lama. Itu adalah ujian yang beliau tahu akan dihadapinya. Katakanlah jika Mat Kilau memilih untuk menjadi tali barut British, mungkin beliau layak untuk menjadi pemimpin besar yang dilantik oleh British. Tok Janggut di Kelantan, jika beliau memilih untuk tidak menentang penjajah, mungkin kematiannya tidak digantung kaki di atas kepala di bawah. Tok Janggut di utara Perak pula memilih jalan lain, maka lain pulalah ujian yang beliau hadapi. Itu semua adalah pilihan masing-masing.
Seorang guru hanya akan mendapat tahu pencapaian muridnya apabila menguji muridnya dengan ujian. Allah tidak begitu sifatNya, Dia tidak pelu menguji semata-mata untuk mengetahui kerana Allah itu Maha Mengetahui. Allah mengetahui yang dahulu, yang sekarang dan yang akan datang. Kenapa Allah perlu menguji tahap keimanan hamba-hambaNya? Jika kita katakan Allah menguji bermakna Allah itu baharu sedangkan Ia tidak bermula dan tidak berkesudahan.
Jika inilah pegangan kita mengatakan bahawa Allah menguji, ujian dari Allah - baiklah kita bertemu dengan orang berilmu dan minta nasihat. Ikut jejak Nasuha dan lakukanlah seperti mana yang Nasuha lakukan. Semua dosa diampunkan kecuali syirik walaupun sehalus zarah sekalipun..."
Nota:
Saudara pembaca budiman,
Jika kenyataan ini salah, dipersilakan untuk menyangkalnya dengan ilmu juga. Jika benar, harap perhatikanlah perjalanan nafsu diri sendiri. E-mailkan kepada Pengarang TOK JANGGUT di royalpattani@gmail.com supaya pendapat pembaca budiman dapat disiarkan. Terima Kasih.
________________________________________
Kami telah menerima beberapa pandangan dan ulasan dari pembaca dan mengucapkan ribuan terima kasih. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada penyumbang yang membicarakan perkara ini dengan begitu baik sekali.
-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-
Oleh: Mohamed Rizal
"Adakah manusia mengira, bahwa mereka akan dibiarkan saja berkata : Kami beriman, tanpa mendapat cobaan" - (Al Ankabut : 2)
"Sesungguhnya telah Kami cobai orang2 yang sebelum mereka, supaya Allah mengetahui orang2 yang benar dan mengetahui orang2 yang dusta (dengan terang dan nyata) - (Al Ankabut : 3)
Keterangan ayat 2-3 :
Di antara manusia ada yang menyangka bahawa cukup ia mengatakan "Saya telah beriman" tanpa dicobai Allah keimanannya itu. Persangkaan itu salah salah sekali melainkan orang2 yang beriman itu, sewaktu2 didatangkan Allah cobaan kepadanya seperti kebakaran, kerugian, kematian dsb. maka orang2 yang sebenarnya beriman tiadalah bergoyang keimanannya kerana cobaan Allah itu, malahan ia menerimanya dengan dada yang lapang dan hati yang sabar serta mengucapkan : Innalillahi wainnailaihi roji'un.
(Rujukan : Tafsir AlQuran Karim : prof Dr H.Mahmud Yunus)
-Saudara,..saya tidak dapat mengulas tulisan saudara itu, tetapi amat senang dan tenang mengamalkan ayat yang dirujuk dari AlQuran ini dalam kehidupan sehari harian.
Tidak perlulah kita mempersoalkan apa perlunya ALLAH menguji tahap keimanan hambanya untuk apa sedangkan ALLAH MAHA MENGETAHUI. Tidak perlulah kita mempersoalkan mengapa ALLAH menjadikan Syurga dan Neraka, kenapa tidak hanya Syurga.
-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-
Oleh: Rahmat Ahmad Ahmad
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh buat saudaraku Tok Janggut…
Dengan rasa rendah diri, saya berpandangan bahawa pernyataan saudara yang dikasihi seperti dinyatakan adalah melibatkan soal RUKUN IMAN YANG KE-ENAM IAITU QADA’ dan QADAR..Ia adalah SOAL KETUHANAN yang memang agak sukar dirungkaikan tetapi tidak mustahil untuk memperolehi jawapan dengan bantuan AR-RAHMAN.Sebagaimana yang saudaraku Tok Janggut tahu bahawa Ulama’ silam pun memang jarang membicarakan soal-soal ini diperingkat khalayak ramai kerana ianya memerlukan ilmu alat yang cukup.Sebelum itu, saya harus memuji saudara tentang artikel-artikel yang saudara zahirkan cukup bernas dan baik sekali. Ia cukup meruntun jiwa bertuhan dalam diri setiap pembaca.TAHNIAH!!! Jika boleh saya nyatakan disini, saudara cukup berjasa menarik orang lain berfikir tentang AGAMA dan peranannya dalam kehidupan manusia.. Alhamdulillah…
Apapun, saya rasa terpanggil dan semestinya telah ditaqdir untuk memberikan pandangan peribadi saya sendiri tentang isu dibawah tajuk artikel: ALLAH MAHA ADIL DAN MAHA MENGETAHUI yang telah ditulis oleh saudara yang ilmuwan.
Merujuk soal ketuhanan yang saudara lontarkan didalam frasa ayat dibawah :
“ Kenapa Allah perlu menguji tahap keimanan hamba-hambaNya? Jika kita katakan Allah menguji bermakna Allah itu baharu sedangkan Ia tidak bermula dan tidak berkesudahan”.
Daripada frasa diatas bolehlah aqal saya mentafsirkan bahawa saudaraku Tok Janggut beranggapan bahawa:
1.ALLAH BUKAN ZAT YANG MENGUJI ATAU PENGUJI
2.SIFAT PENGUJI ADALAH BERTENTANGAN DENGAN SIFAT MUKHALIFATUHU-LIL-HAWADISI- NYA
3.SIFAT PENGUJI ADALAH BERTENTANGAN DENGAN SIFAT QADIM-NYA dan BAQA’-NYA
Jika tafsiran saya ini benar, maka saya dengan rasa rendah diri ingin menzahirkan sedikit perbezaan pandangan dalam perkara ini berdasarkan dalil naqli dan aqli dibawah :
1. Firman Allah : “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya DIA menguji kamu, siapa diantara kamu yang lebih baik amalnya.Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.”- SURAH AL-MULK, AYAT : 2
Berdasarkan ayat Al-Quran ini, jelas membuktikan bahawa Allah itu bersifat PENGUJI kepada manusia dalam kehidupan didunia.Bagi saya, soal ujian yang disandarkan datangnya daripada Allah tidak sama sekali bertentangan dengan sifat MUKHALIFATUHULILHAWADISI-NYA dan juga sifat QADIM-NYA. Bahkan ia mengukuhkannya lagi, sebab sifat MUKHALIFATUHULILHAWADISI, sifat BAQA’ dan sifat QADIM adalah sifat-sifat ALLAH yang dikategorikan oleh ulama’ usulluddin sebagai SIFAT SALBIAH; iaitu sifat yang menafikan barang yang tidak layak bagi zat. Sedangkan sifat ini memang layak bagi-NYA
Bersumberkan ayat di atas, saya fikir bahawa sifat ujian yang ada pada ZAT ALLAH ini adalah bukan bersifat temporari/ sementara tetapi ia adalah kekal kerana jelas daripada ayat diatas Allah sentiasa menguji sepanjang masa “mati dan hidup” manusia. Ini jauh bertentangan dengan sifat baharu yang bersifat sementara dan akan luput pada sesetengah masa. Dan ayat ini juga mengenengahkan bahawa Allah sendiri tidak terikat dengan MASA yang merupakan ciptaan-NYA.
Bagi saya memang ada “keperluan” bagi Allah untuk menguji hamba-hamba-NYA kerana syurga dan neraka adalah natijah amal didunia yang telah disediakan oleh Allah diakhirat sana.Semua ini adalah lambang kebijaksanaan dan keadilan Allah S.W.T. Mana mungkin tanpa ujian, hasil akan keluar begitu sahaja.Soal masuk syurga bukan kerana banyak pahala dan sikitnya dosa, itu bagi saya satu persoalan yang memerlukan sedikit jawapan yang berbeza. Hal ini sama seperti kejadian Nabi Isa alaihissalam, Nabi Adam dan Nenek kita Hawa.. Ia adalah isu nadir dan menurut Ilmu Fiqh, perkara nadhir tidak boleh dijadikan sebagai sumber rujukan sesuatu hukum atau kesimpulan pandangan. Bagi saya, perkara ini hanya ingin menyedarkan manusia, ALLAH TUHAN KITA, KITA ADALAH HAMBANYA.. Allah Maha Berkuasa atas sesuatu..
Bagi saya semua yang berlaku dalam hidup kita ini adalah UJIAN dari ALLAH yang telah ditentukan sejak “DULU” lagi berdasarkan “Sistem azali-NYA” dalam satu-satu perkara yang telah ditetapkan… Manusia adalah hak yang diuji dan Allah adalah hak yang menguji.Ia bertepatan dengan konsep hubungan ALLAH sebagai Tuhan, Manusia sebagai hambanya. Umumnya ujian dan lebih sesuai digunakan sebagai MUSIBAH dalam kehidupan ini adalah berteraskan kepada 3 sebab :
1. Musibah untuk meningkatkan tahap keimanan / ketaqwaan kita.
2. Musibah untuk menjadikan iktibar kepada orang lain tentang kekuasaan Allah.
3. Musibah untuk menghukum akan kesalahan kita.
Moga-moga kita semua terpilih dalam golongan yang pertama. (AMIN)
Saya cukup sedar bahawa masih banyak lagi kekurangan pandangan saya tentang perkara ini, namun saya juga benar-benar percaya bahawa tiada suatu pun yang mutlak sempurnanya selagimana kita bergelar manusia..Ia hanyalah sebuah pandangan yang bukan bertujuan untuk mengajar tetapi ia adalah sebagai perkongsian yang barangkali boleh difikirkan…
“Fikiran adalah sumber kehidupan bagi sebuah kepercayaan.”
Allah jualah yang lebih mengetahui…
FAQIRUN ILA ALLAH….
ibnuahmad
“ SETELAHKU TAHU ASAL DIRI,SUNGGUH BERSYUKUR KEPADA ILAHI, TIADA APA YANG KU PINTA LAGI, HANYA KEMBALI KE HADRHAT ILAHI”
-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-
Oleh: Izham Abdul Latif
Assalamualaikom kepada sahabat alam maya ku, Tok Janggut,
Saya tertarik dengan keberanian memaparkan perkara yang tidak dibicarakan kepada umum di dalam blog ini. Ia mencarik adat. Sungguhpun begitu, umum patut tahu mengenai kebenaran setelah terpendam lama. Sebelum saya menulis dan mengemukakan pandangan saya, perkara ini telah kami bincangkan di dalam majlis mingguan Islah yang kami adakan baru-baru ini.
Izinkan saya mengemukakan pandangan saya mewakili majlis mengenai perkara ini:
Tatkala Allah berfirman kepada sekalian malaikat "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Maka dijawab oleh Azazil iaitu ketua para malaikat "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?" Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui". (Al Quran Surah Al Baqorah ayat 30 )
Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!" (Al Quran Surah Al Baqorah ayat 31 )
Mereka menjawab: "Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Al Quran Surah Al Baqorah ayat 32)
Allah berfirman: "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini". Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: "Bukankah sudah Ku katakan kepadamu, bahwa sesungguhnya Aku mengetahui rahasia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" ( Al Quran Surah Al Baqorah ayat 33)
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam," maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir. (Al Quran Surah Al Baqorah ayat 34 )
Dan Kami berfirman: "Hai Adam diamilah oleh kamu dan istrimu surga ini, dan makanlah makanan-makanannya yang banyak lagi baik di mana saja yang kamu sukai, dan janganlah kamu dekati pohon ini, yang menyebabkan kamu termasuk orang-orang yang melanggar aturan. ( Al Quran Surah Al Baqorah ayat 35 )
Lalu keduanya digelincirkan oleh setan dari surga itu dan dikeluarkan dari keadaan semula dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebagian kamu menjadi
musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan". (Al Quran Surah Al Baqorah ayat 36 )
Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang. (Al Quran Surah Al Baqorah ayat 37)
Kami berfirman: "Turunlah kamu semua dari surga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya tidak ada kekhawatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati". (Al Quran Surah Al Baqorah ayat 38)
Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. Al Quran Surah Al Baqorah ayat 39
Allah telah memberi kebenaran kepada Iblis untuk menyesatkan anak cucu Nabi Allah Adam. Iblis menggunakan apa jua jenis tipu daya untuk menewaskan keimanan kita. Berbagai-bagai jenis tipu daya telah dicuba dan diujinya ke atas anak cucu Nabi Allah Adam. Semasa kita diuji, laluan yang dilalui adalah getir. Hanya yang bijak sahaja akan memohon pertolongan dan bantuan Allah. Yang lainnya akan memohon kepada selain dari Allah. Hanya yang menjadikan Allah sebaik Penolong sahaja yang akan terselamat.
Sahabat ku Tok Janggut,
Terdapat tiga jenis ilmu pengetahuan yang Allah sampaikan ke Nabi Mohamad s.a.w iaitu 1. Ilmu pengetahuan hanya untuk dirinya sendiri. 2. Ilmu pengetahuan untuk dirinya berkongsi dengan para sahabat dan orang terdekat. 3. Ilmu pengetahuan untuk disebarkan kepada umum.
Saya tidak dapat menerangkan di dalam tulisan ini kerana ianya sulit dan akan disalah mengerti oleh pembaca. Cukuplah sekadar saya katakan bahawa ramai umat Islam hari ini menyukai kulit tanpa memperdulikan isi. Perkara ini berlaku kerana ada pihak yang khawatir bahawa jika umat Islam memegang dan mengikuti ajaran yang hak, umat Islam akan menjadi kuat dan maju di dalam semua jurusan. Semasa zaman British lagi telah ada jawatankuasa tender memilih mazhab jenis apa untuk disogokkan kepada umat Islam Melayu. Kelicikan mereka memastikan kita sentiasa lemah hingga tidak tahu kebenaran yang haqqul yakin.
Semasa saya dan rakan-rakan belajar di Amerika sekitar awal 80han, kami terkejut semasa khatib membaca khutbah, ada seorang jemaah mengangkat tangan bertanya sesuatu kerana dia tidak atau kurang faham. Setelah dijelaskan oleh khatib, bukan setakat jemaah ini yang dapat memahami dengan jelas tetapi saya, rakan-rakan dan seluruh jemaah juga faham. Terdapat perhubungan dua hala. Interaksi begini tidak dilakukan di negara ini kerana dikatakan jika khatib berkhutbah, kita ditegah berkata-kata. Jika kita tidak memahaminya, kita tidak bertanya. Di dalam budaya Melayu ada pepatah mengatakan "tidak bertanya sesat jalan".
Tahniah sahabat ku Tok Janggut kerana memaparkan isu yang jarang-jarang dipersoalkan. Semoga kita semua mendapat kefahaman ilmu pengetahuan yang benar.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan salam dari kami. Teruskan usaha yang baik itu.
-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-<>-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment