Monday, May 12, 2008

NASIB



"...ramai yang menderita apabila membuat keputusan yang salah di dalam hidup. Manusia suka memilih jalan pintas walaupun resikonya tinggi. Manusia suka mempercayai sesuatu perkara sedangkan yang sebenarnya ia sendiri masih meraguinya..."


"....Kita gagal apabila kita mampu memberikan wang yang banyak kepada ahli tetapi gagal memberi pendidikan akibat dari perubahan cara hidup ahli yang mendadak itu. Ini tidak akan berlaku jika kita jujur pada apa yang kita lakukan kerana orang yang jujur akan memikirkan perkara yang dijangka atau perkara-perkara diluar jangkaan yang tidak akan difikirkan oleh orang lain. Hanya orang yang jujur akan mengukuhkan keselamatan untuk memastikan orang-orang bawahannya selamat...."

"....cara berfikir orang Melayu masih lemah. Mereka suka mendengar harapan dan diberikan harapan, perkataan takdir telah menjadi alasan paling kukuh untuk menipu diri sendiri akibat kegagalan membuat pilihan. Kegagalan membuat pilihan pula lahir dari sikap malas berfikir dan membuat kajian. Mereka juga mudah tertipu dengan kata-kata manis, akibatnya orang Melayu terseret ke kancah yang hina apabila mempercayai harapan demi harapan. Mereka akan melenting pada orang yang menghebahkan kebenaran...."

"...topeng yang paling efektif untuk mengelabui minda manusia ialah topeng agama, topeng perjuangan dan topeng kasih sayang. Ironinya orang Melayu juga suka memakai topeng-topeng ini hingga terlalu sukar dibuang dari diri walaupun dahinya mencecah bumi sujud pada Ilahi. Topeng itu rupanya telah sebati dengan wajah diri dan dirinya sentiasa resah dan gelisah....tidak pernah cukup dan puas dengan apa yang telah dikurniakan Ilahi"

"..........Melayu mudah lupa..." itu kata Tun Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia. Zaman kegemilangan Melaka, pelabuhannya besar dan banyak kapal dagangnya berlabuh dan berdagang disitu. Apabila diserang dan dijajah oleh musuh dari sebuah negara kecil yang terpaksa meredah lautan luas beribu batu untuk menjalankan agenda pemimpin mereka, ramai usahawan, akauntan, jurutera, arkitek, penulis dan pakar-pakar dan ilmuwan Melayu terpaksa melarikan diri ke dalam hutan untuk menyelamatkan diri. Orang Melayu bertempur dengan penjajah menggunakan tombak, keris dan pedang. Mereka menerima kekalahan demi kekalahan apabila berhadapan dengan penjajah yang menggunakan meriam dan senapang.

Sejak itu orang Melayu mengutamakan ilmu kependekaran, ramai yang belajar ilmu mempertahankan diri. Maka lahirlah di dalam sejarah Melayu selepas itu pendekar dan hulubalang-hulubalang yang disegani. Usahawan, akauntan, jurutera, arkitek, penulis, pakar-pakar dan ilmuwan Melayu hilang di dalam lipatan sejarah.

Penjajah bertukar tangan. Hanya Jepun tidak membawa misi yang sama dengan Portugis dan British. Portugis bertukar tangan kepada British kemudian bertukar tangan, bertukar tangan, bertukar tangan, bertukar tangan - akibatnya minda Melayu telah dicanai untuk mengikut sahaja dan tidak berfikir. Ulamak tidak diajar dan digalakkan untuk berfikir tetapi diajar untuk mengikut dan mentaati dengan apa yang telah ditetapkan. Melayu masih tidak pernah merdeka dari penjajah mindanya. ...."

No comments: