Wednesday, March 04, 2009

SAWANG HUTANG

Tok Janggut,

Saya merasa hiba dengan apa yang sedang berlaku di hadapan mata sejak akhir-akhir ini. Sungguhpun begitu, setelah membaca artikel
GRAND DESIGN, walaupun sukar juga untuk memahaminya tetapi dengan usaha rakan-rakan yang membantu menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu, saya mengakui akan kebenaran artikel itu.

Ianya adalah satu proses yang ditentukan Allah. Ianya tidak dapat disekat-sekat lagi. Masa perubahan telah tiba. Tsunami di darat akan berlaku juga akhirnya.

Kempen
tanpa riba ke arah 2020 adalah bertepatan dan ianya memberikan tamparan yang hebat kepada diri saya. Walaupun sudah menunaikan ibadah haji namun tanpa disedari saya sendiri menjadi pendokong riba selama ini. Tidak cukup dengan berhutang membeli rumah dan kereta, untuk memudahkan anak saya yang baru bekerja saya juga menyuruhnya membuat hutang dengan bank. Saya menggalakkan riba. Malu saya dengan diri saya sendiri.

Saya mengambil kesempatan ini untuk turut menyeru kepada anak-anak bangsa dan rakyat Malaysia supaya menghentikan mengambil hutang; selesaikan hutang yang ada dengan segera. Jika diizinkan Allah, saya yakin akan wujud institusi atau badan yang akan mengambil alih tanggungjawab bank atau institusi kewangan pada satu hari nanti. Saya tidak tahu bagaimana tetapi Islam itu kaya dan telah lengkap dengan sistemnya yang terbaik.

Terus terang, saya tidak lagi mengharapkan kepada alim ulamak yang ada. Mereka juga berhutang dengan bank dan institusi kewangan. Mereka juga pendokong riba; mulut mereka sahaja yang mengajar bahawa riba itu haram tetapi itu juga yang mereka buat. Jika tidak, bagaimana mereka mampu membiayai membeli kereta dan rumah besar?

Kita sebenarnya tidak mahu keluar dari kotak atau berfikir di luar kotak seperti yang di sarankan oleh Perdana Menteri Malaysia. Apabila berfikir di luar kotak dan melihat lanskap yang berbeza, apakah Perdana Menteri akan berbuat sesuatu mengenai perkara ini sebelum ia bersara. Atau beliau hanya berpuas hati melihat rakyat dijerut oleh institusi kewangan dan beliau akan hanya menghabiskan sisa usianya memancing sahaja? Setahu saya Perdana Menteri adalah anak dan cucu kepada pejuang agama dan bangsa. Bukannya anak nelayan yang menangkap ikan di laut!

Beliau mahu menyerahkan tampuk pemerintahan kepada seseorang yang langsung tiada pendidikan Islam sepertinya. Setahu saya mereka yang dilatih atau mempunyai pendidikan Islam dari Al Azhar atau Kaherah pun ramai yang terjerumus dengan riba. Berapa orang alim ulamak atau bekas mufti atau yang masih memegang jawatan agama yang tidak pernah berhutang dengan bank atau institusi kewangan yang mendokong riba? Umat Islam akan terus tertekan dan menjadi mangsa; sebelum memancing di sungai atau laut - Perdana Menteri hendaklah menghentikan jerung-jerung kewangan ini dari terus bermaharajalela.

Hari ini terlalu banyak kerugian yang telah dihadapi oleh orang Melayu, ia menjadi sawang hutang yang begitu tebal hingga menyebabkan ramai yang menahan malu dan di jadikan buruan oleh firma pengutip hutang yang mendapat upah dari institusi perbankan dan kewangan tempatan - semuanya berada di bawah pemantauan Bank Negara Malaysia.

Sinis senyuman pegawai-pegawai Bank Negara Malaysia setelah berjaya menghancurkan ekonomi bangsa sendiri; mereka akhirnya merasakan berjaya mempertahankan keluhuran undang-undang. Mereka gigih di dalam usaha mereka mempertahankan institusi kewangan tempatan dan tanpa sedar telah menyuburkan riba! Soalan:
adakah rohani mereka tenteram?

Suburlah institusi perbankan tempatan; keuntungan berlipat kali ganda hasil riba yang bertimbun disebabkan kelalaian dan kealpaan orang Melayu sendiri. Mahu dikatakan salah orang Melayu, sukar juga. Mereka tidak di latih ilmu pengurusan kewangan atau kaedah sebenar membelanjakan wang.

Beberapa firma yang menjalankan perniagaan dengan niat awalnya untuk menaikkan taraf hidup orang Melayu, mahu berkongsi bersama kejayaan dengan bangsa sendiri - akhirnya mereka dipaksa melutut dihujung kaki kapitalis yang memakai berbagai-bagai jenis topeng, memangku berjenis-jenis jawatan. Undang-undang peninggalan penjajah berada di pihak mereka. Mereka menang.

Akibatnya ramai orang Melayu yang mempunyai niat yang baik, terjerat dengan hutang yang amat sukar untuk diselesaikan. Mereka dikejar oleh pengutip-pengutip hutang, kereta di tarik oleh penagih hutang, rumah diketuk bertalu-talu dan telefon berdering hingga sukar untuk dijawab lagi.

Ahli-ahli pertubuhan yang terdiri dari orang Melayu yang kononnya mahu membantu dan membela nasib orang Melayu, kini ada di antara mereka bekerja sebagai wakil penagih hutang hingga sanggup menggunakan kekerasan asalkan mendapat komisyen atau upah. Kekerasan digunakan sehingga ada kejadian pisau dihunuskan sebagai tanda ugutan. Kejadian di Kuala Kangsar baru-baru ini menjadi contoh yang terbaik apabila ahli pertubuhan yang membela orang Melayu ini telah menhunuskan pisau semata-mata untuk merampas kereta yang telah tidak terbayar ansuran bulanannya. Pemimpin atasan pertubuhan ini seolah tidak mampu berbuat apa-apa melihat ada di antara ahli-ahlinya telah bertukar menjadi samseng dan pendiri riba walaupun sumpah keahlian mereka dengan menjunjung Al Quraan ur Karim.

Bagaimana pula dengan pemimpin kerajaan? Perkataan
kerajaan membawa maksud yang amat berbeza dengan amalan hari ini.

Tok Janggut,

Biarlah masing-masing yang huraikan mengenai persoalan pemimpin kerajaan ini.


Terima Kasih.

-
(Hj) Fadly

*





No comments: